27 November 2008

50,000 pekerja Malaysia pulang 2009

KUALA LUMPUR: Kira-kira 50,000 rakyat Malaysia yang kini sedang bekerja di Singapura dijangka pulang ke tanah air pada awal tahun depan disebabkan krisis ekonomi global yang berupaya menjejaskan pertumbuhan ekonomi sesuatu negara itu. Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata beliau pasti setiap majikan akan mengurangkan pekerja ketika berhadapan krisis ekonomi itu dalam usaha mereka untuk menjimatkan kos operasi. Chua berkata, ketika ini terdapat hampir 11 juta pekerja di negara ini dan daripada jumlah itu, kira-kira 2.1 juta adalah pekerja asing yang bekerja dalam pelbagai sektor. “Pekerja asing tanpa izin pula dianggarkan kira-kira 300,000 hingga 800,00 orang. Cuba anda bayangkan, kita ada lebih kurang 2.6 juta pekerja asing di Malaysia dan angka ini sudah melebihi masyarakat India di negara ini. “Jika negara kita dibanjiri pekerja asing yang bekerja di semua sektor, bagaimana rakyat kita yang bekerja di luar negara mahu mendapat peluang pekerjaan apabila mereka terpaksa kembali ke sini disebabkan krisis global ekonomi,” katanya yang juga Pengerusi Biro Pemantauan Dasar Kerajaan pada sidang media di Wisma MCA di sini, semalam. Chua berkata, kadar pengangguran dikalangan rakyat tempatan akan meningkat sekiranya pekerja asing terus membanjiri negara ini. “Saya percaya, sekiranya majikan tempatan turut berhadapan dengan situasi yang sama, mereka juga mahu mengurangkan pekerja... apa yang saya yakin jika mereka membuang pekerja, jangan berhentikan pekerja tempatan sebaliknya berhentikan pekerja asing. “Mereka perlu utamakan pekerja tempatan kerana saya khuatir sekiranya berlaku pengurangan pekerja... majikan akan mengutamakan pekerja asing kerana kos mereka murah... ini tidak adil dan tidak wajar,” katanya. Chua berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan menetapkan gaji minimum dalam beberapa sektor termasuk perladangan dan pembinaan bagi menarik minat pekerja tempatan. “Kerajaan perlu segera berbuat demikian kerana kita tidak mahu rakyat menjadi penganggur di negara sendiri, manakala pekerja asing pula mempunyai pekerjaan. Kita tidak mahu langkah pengurangan tenaga asing menjadi kenyataan politik saja,” katanya.
Sumber dari berita harian

No comments: