28 November 2008

Islam sempurna tanpa campur aduk khurafat, syirik

ISLAM adalah al-Din yang diredai Allah dan suatu cara atau panduan hidup lengkap mengatur kehidupan manusia sejagat. Sejajar ciri kesempurnaan dan kesyumulan yang menghiasi Islam, maka tidak perlu penambahan atau pengurangan dalam ajaran Islam kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk umat manusia. Umat manusia sewajarnya menerima Islam sebagai teras yang mendasari ruang lingkup kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi, hanya Islam sajalah yang menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan hidup manusia sejagat. Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi.” - (Surah Ali-Imran, ayat 85)

Serentak itu, umat Islam sewajibnya memelihara kesucian Islam daripada dinodai sebarang ajaran sesat mahupun khurafat atau bidaah yang akan mencacatkan kesempurnaan Islam yang suci. Justeru, umat Islam bertanggungjawab memelihara kesucian Islam daripada dicemari anasir bertentangan dengan syarak. Islam itu tertegak atas tiga tonggak utama iaitu Rukun Iman, Rukun Islam dan ihsan. Ketiga-tiga tonggak inilah yang menghiasi sahsiah Mukmin dan Muslim sejati yang benar-benar bertakwa kepada Allah. Sebarang penambahan atau pengurangan daripada ajaran Islam adalah suatu perkara yang dilarang Allah. Perlu ditegaskan bahawa antara punca kesesatan dan kebinasaan sesuatu kaum atau bangsa adalah kerana menokok tambah atau mengubah ajaran agama yang diutuskan Allah kepada umat manusia.
Sebagai renungan, Allah merakamkan kisah kesesatan kaum Yahudi dalam firman-Nya yang bermaksud: “Di antara orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar, dan berkata (kepada Nabi Muhammad): Kami mendengar, (sedang mereka berkata dalam hati): Kami tidak akan menurut. (Mereka juga berkata): Tolonglah dengar, tuan tidak diper-dengarkan sesuatu yang buruk, serta (mereka mengatakan): Berilah layanan kepada kami; (Tujuan kata-kata mereka itu) hanya memutar belitkan perkataan mereka dan mencela agama Islam. Dan jika mereka berkata: Kami dengar dan kami taat, dan dengarlah serta berilah perhatian kepada kami, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih betul. Akan tetapi Allah melaknat mereka dengan sebab kekufuran mereka. Oleh itu, mereka tidak beriman kecuali sedikit saja (di antara mereka).” - (Surah al-Nisa’, ayat 46) Maksud ayat itu menjelaskan laknat Allah menimpa kaum Yahudi akibat perbuatan mereka menambah dan mengubah ajaran agama yang diutuskan Allah kepada mereka melalui pesuruh-Nya. Natijahnya, mereka berada dalam kesesatan yang nyata dan pastinya jauh daripada rahmat Allah. Tafsir Pimpinan Al-Rahman ada dijelaskan bahawa orang yang sesat itu adalah orang yang tidak berpengetahuan agama betul kerana dipelajarinya dengan tidak menurut peraturan dan jalan sebenarnya.


Jadi, untuk mengenal pasti sama ada sesuatu ajaran dan amalan dilakukan itu selari atau bercanggah dengan Islam adalah merujuk kepada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, sumber ajaran Islam sebenarnya. Oleh itu, apabila umat Islam tidak berpegang teguh dengan kedua-dua sumber berkenaan, maka tidak hairanlah ajaran sesat itu mula mengakari dan menjalari dalam setiap sendi masyarakat Islam kini. Meninjau senario umat Islam kini, masih ada banyak ajaran sesat dan khurafat serta bidaah yang sukar hendak dipisahkan daripada hidup mereka. Amalan seumpama memuja dan memohon sesuatu selain daripada Allah seperti keramat di kuburan, percaya kepada batu keramat yang boleh membawa manfaat dan mudarat, menilik nasib, amalan kebal, percaya pada semangat dan sebagainya masih lagi menebal dalam adat dan budaya hidup umat Islam. Padahal, amalan seumpama itu boleh merosakkan iman seseorang dan membawa kepada kesesatan serta kekufuran. Keadaan itu berlaku apabila kejahilan terhadap ajaran Islam sebenarnya masih lagi menunjangi ruang lingkup kehidupan umat Islam. Mereka jahil mengenai konsep iman dan Islam yang menuntut ketundukan serta kepatuhan tulus semata-mata kepada Allah. Begitu juga mereka tidak arif mengenai batas iman dan Islam yang menghampirkan mereka ke sempadan kesesatan hingga tidak menyedari bahawa amalan khurafat dan ajaran sesat itu bertentangan dengan Islam. Sebenarnya, Islam diutuskan Allah melalui pesuruh-Nya, Rasulullah SAW membawa mesej rahmah untuk sekalian alam. Selain itu, ajaran Islam cukup mudah dan senang difahami serta seimbang antara tuntutan duniawi dan ukhrawi. Lebih istimewa, Islam sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri. Maka, dengan keistimewaan dan keunikan Islam, tidak wajar ajaran Islam yang sempurna lagi lengkap ini diselewengkan dan disalahgunakan pihak tidak bertanggung jawab. Sehubungan itu, Allah menegaskan dalam al-Quran akan nasib orang yang beriman kepada-Nya dan akibat buruk orang yang kufur kepada-Nya melalui firman yang bermaksud: “Sekiranya penduduk negeri itu, beriman dan bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” - (Surah al-A’raf, ayat 96) Justeru, setiap Muslim diwajibkan supaya menimba ilmu Islam daripada sumbernya tulen iaitu al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Dalam hal ini, terserlah peranan ulama sebagai pewaris para Nabi dalam menyebarkan ilmu Islam di kalangan masyarakat Islam. Pada masa sama, pihak kerajaan sewajarnya berganding bahu bersama ulama menguatkuasakan undang-undang Islam bagi membanteras gejala ajaran sesat dan amalan khurafat. Dengan adanya permuafakatan yang padu antara umara dan ulama, barulah usaha memartabatkan Islam berjaya.

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

No comments: